Percutian bulan madu semestinya aktiviti yang dinanti-nantikan pasangan baru berkahwin. Tempoh berbulan madu adalah fasa yang cukup istimewa untuk pasangan baru berkahwin untuk saling mengenali satu sama lain dan meluangkan masa bersama tanpa sebarang gangguan. Ada yang inginkan privasi bersama, dikelilingi pemandangan yang cantik dan persekitaran yang sunyi. Marilah kita tengok destinasi bulan madu di Malaysia!
Tapi ada pula yang mahukan pengembaraan, mencuba sesuatu yang baru seperti aktiviti air dan mendaki gunung. Setiap pasangan mempunyai cita rasa yang berbeza dan di era yang moden ini, apa saja boleh dilakukan untuk menjalin hubungan yang lebih erat. Malaysia ada banyak lokasi yang menarik dan cantik, sesuai untuk aktiviti berbulan madu. Jika anda inginkan fasa bulan madu yang tak dapat dilupakan, ini adalah 5 destinasi terbaik untuk anda cuba di Malaysia!
Bulan Madu di Kawasan Pergunungan Cameron Highlands
Cuba sesuatu yang berbeza di Cameron Highlands jika anda ingin lari dari kepanasan kota dan kebingitan bandar. Di sini, anda dapat menikmati udara yang segar dan dingin yang datang dengan pemandangan indah seperti ladang teh yang subur menghijau, gunung-ganang yang tinggi dan sungai yang jernih. Ciri-ciri ini membuatkan Cameron Highlands sebuah destinasi impian untuk penggemar fotografi. Berjalan sepanjang hari pun anda tetap berasa segar.
Aktiviti di Cameron Highlands:
- Melawat ladang lebah, taman rama-rama, ladang teh Boh dan ladang ‘strawberry’.
- Trekking di hutan.
- Mencuba makanan ‘steamboat’.
- Menjelajah lokasi air terjun dan Lembah Kaktus .
- Melawat muzium Time Tunnel.
- Berjalan-jalan di pasar malam.
Terokai Kepulauan Borneo
Tinggalkan kehidupan yang sesak di bandar dan nikmatilah pemandangan yang memukau di kawasan pergunungan dan bukit-bukau. Di sini, terdapat sungai yang bersih untuk aktiviti berkayak, berehat di kolam air panas, melihat pelbagai jenis flora dan fauna serta menghargai tradisi dan perkampungan di kepulauan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Untuk pasangan yang gemarkan aktiviti luar atau ‘outdoor’, inilah destinasi terbaik untuk fasa berbulan madu. Pasti anda dan pasangan anda akan selalu mengenangkan Sabah dan Sarawak.
Aktiviti di Pulau Borneo:
- Bersantai di kawasan kepulauan Borneo.
- Melawat Taman Negara Kinabalu dan mencuba titi ‘canopy walk’.
- Menikmati keindahan semula jadi di the Danum Valley dan mengunjungi habitat orangutan.
- Mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara – Gunung Kinabalu.
- Menyelam ke dunia fantasi bawah air di Pulau Sipadan.
Alami Saat Romantis Di Langkawi
Untuk pasangan muda yang hanya mahukan privasi sepenuhnya dan suasana romantik semasa berbulan madu, resort Datai Langkawi adalah pilihan yang paling sesuai. Resort bertaraf 5 bintang ini dikelilingi dengan dedaunan hutan hujan yang subur dan pemandangan laut yang mempesonakan dari Laut Andaman yang tenang. Datai Langkawi juga menawarkan:
- Kemewahan dan servis yang terbaik seperti sesi urutan santai
- Akses ke pantai peribadi yang cantik
- Makan malam di tepi pantai
- Sesi barbeku di pantai
- Pelayaran persendirian
Aktiviti di Langkawi:
- Berjalan di tepi pantai yang romantik bersama pasangan.
- Menikmati keindahan matahari di waktu senja.
- Melawat pulau-pulau di Langkawi.
- Aktiviti air seperti menyelam dan berkayak.
- Menjelajah kawasan hutan.
- Menikmati makan malam yang romantik.
Bersiar-siar di Melaka
Kawasan desa dan perkampungan membuatkan Melaka destinasi yang amat sesuai untuk pencinta tapak-tapak yang bersejarah. Bandar Melaka adalah bandar yang sarat dengan sejarah lampau dan kesenian tradisi masyarakat tempatan. Pasangan berbulan madu juga boleh mencuba berbagai jenis makanan tempatan dan lokasi membeli-belah yang menarik di sini.
Aktiviti di Melaka:
- Melawat galeri seni dan tapak bersejarah yang diiktiraf oleh UNESCO
- Membeli-belah sakan di Jonker Street.
- Menaiki kapal Melaka River Cruise dan menyaksikan pemandangan yang mempesonakan.
- Melawat Dewan Bandar Kerajaan Belanda dan replika Istana Sultan zaman dahulu kala.
- Menjelajah gereja, muzium dan peninggalan kubu jajahan Portugis.
Terokai Taman Negara
Pasti ada yang pelik dan tertanya-tanya mengapa Taman Negara juga termasuk dalam senarai 5 destinasi bulan madu terbaik di Malaysia bukan? Jawapannya adalah kerana Taman Negara mempunyai hutan simpan semula jadi yang berumur lebih dari 130 juta tahun! Kalau anda dan pasangan anda penggemar alam sekitar dan lebih suka menikmati flora dan fauna berbanding kehidupan yang bising di bandar, Taman Negara adalah destinasi yang terbaik!
Aktiviti di Taman Negara:
- Aktiviti explorasi waktu malam di hutan.
- ‘Rapid Shooting’ – Anda akan menaiki bot dan merentasi 7 sungai arus deras.
- Menjelajah gua batu kapur di Gua Telinga.
- Berakit dari Kuala Trengganu ke Kuala Tahan.
- Merentasi Sungai Tahan dan menikmati panorama yang memukau mata.
Menarik kan senarai ini? Tambahan lagi, semua lokasi di atas dalam Malaysia sahaja. Banyak lagi yang boleh diterokai di Malaysia, anda boleh membaca tentang semuanya di sini!
Leave a Reply