• Menu

Berhati-Hati Melancong di Filipina

Filipina dikategorikan sebagai negara yang aman namun sebagai pelancong, kita harus sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara. Ini kerana anda adalah orang asing di negara asing bagi diri anda. Filipina yang terkenal dengan ibu kotanya iaitu bandar Manila dengan pelbagai keunikan tersendiri dan pegangan agama rasmi adalah Kristian. Ikuti perkara yang perlu anda waspada ketika di Filipina.

1. Isu Teksi dan Pemandu

Credit: cars_of_the_ph

Berhati-hati ketika memilih teksi, pastikan anda memilih teksi bermeter. Jangan menaiki teksi tanpa meter sekiranya anda bimbang anda akan ditipu setelah tiba ke destinasi. Jangan mengikut kehendak pemandu teksi untuk membawa anda ke tempat menarik melaikan anda mengetahuinya. Kos teksi bergantung kepada jenis teksi.

Teksi putih pra-bayar di Lapangan Terbang Manila adalah yang termahal dengan anggaran caj 500 – 600 peso ke Makati atau Ermita. Tetapi, sekiranya anda menaiki teksi kuning daripada lapangan terbang Manila hanya bernilai 200 – 250 peso secara anggaran ke Makati. Selain itu, terdapat teksi yang jauh lebih murah iaitu teksi putih yang biasa di luar kawasan lapangan terbang dengan jumlah anggaran 160 peso sahaja.

2. Jualan Murah

Credit: merllinalfred

Sekiranya, anda dipelawa atau diajak ke satu pusat membeli-belah, pastikan anda mengetahui lokasi tempat tersebut atau anda telah mengenali pemandu teksi atau pemandu pelancong tersebut. Kemungkinan ada penipuan harga di tempat tersebut atau penipuan kualiti produk yang dijual.

3. Polis Palsu dan Pengesahan Identiti

Credit: nmaxph

Apabila ada polis menahan untuk memeriksa anda, pastikan polis tersebut mempunyai identiti yang sah. Berlaku situasi polis menyamar yang meminta wang daripada pelancong untuk memeriksa sekiranya wang milik pelancong itu adalah wang palsu atau wang tulen. Jangan serahkan dompet atau wang, atau jangan keluarkan langsung wang kerana mereka akan terus meragut dan lari. Sebaiknya, berbincang atau lakukan siasatan di balai  polis berhampiran. Lebih mudah katakan wang anda telah diperiksa oleh polis pengiring anda atau sebagainya. Anda boleh rujuk maklumat polis Filipina di laman www.pnp.gov.ph.

4. Pemandu Pelancong yang Sah

Credit: mrpineda21

Pastikan anda mengupah pemandu pelancong yang sah atau diiktiraf supaya memudahkan urusan ketika melancong. Pemandu pelancong yang sah pasti mempunyai kenalan yang baik dan dapat memberi lebih bantuan. Sekiranya anda melancong secara solo, anda boleh mendapatkan maklumat melalui hotel, pegawai polis, pegawai di lapangan terbang atau kaunter-kaunter pertanyaan yang disediakan.

5. Mengembara ke Selatan Filipina

Credit: i_mistiffany

Andai anda melancong di luar bandar Manila, anda boleh ke selatan Filipina seperti Boracay untuk melihat keunikan budaya di sana. Anda juga boleh melihat keindahan dan keunikan di Bohol, Camiguin, Palawan, Siquijor, Tagaytay, Baguio, atau Vigan.

6. Hati-Hati di Selatan Filipina

Credit: projectsabroadglobal

Jangan pergi terlalu jauh ke selatan Filipina, untuk melihat keunikan dan keaslian budaya mereka. Kebanyakan tempat di selatan mempunyai masalah dan berlaku penculikan pelancong di sana. Pastikan anda berada di kawasan selamat untuk pelancong supaya anda tidak terlibat dengan insiden yang tidak diingini. Pastikan juga anda mengetahui tempat-tempat yang berlaku pemberontakan atau rusuhan dan cari laluan alternatif lain.

7. Bantuan Pihak Hotel

Credit: gracebelasa

Selain daripada anda bertanya pihak pengurusan pelancongan, anda juga boleh bertanya terus kepada pihak pengurusan hotel untuk mendapatkan maklumat atau bantuan. Anda boleh mendapatkan pemandu yang lebih baik dan berpengalaman. Dengan bantuan pihak hotel, anda boleh meminta pandangan tentang isu semasa, lokasi menarik dan apa yang perlu dan dijauhkan sepanjang tempoh anda di Filipina. Kebiasaannya, pihak hotel telah bekerjasama dengan pihak teksi, pemandu pelancong dan pelabgai pihak luar yang lain untuk menjalankan perniagaan bersama, disamping itu anda boleh melancong dalam keadaan selamat.

8. Sediakan Wang Tunai

Credit: dive4dream

Kelainan dan keunikan Filipina merupakan tarikan kuat pelancong kesana. Namun, anda perlu sediakan wang tunai kerana sukar untuk mendapatkan mesin pengeluaran wang iaitu A.T.M. Jangan sediakan wang tunai dalam jumlah yang banyak kerana akan menyukarkan anda untuk menyimpannya. Asingkan simpanan wang tunai anda di tempat yang berbeza, jangan letakkan pada tempat yang sama dan ini akan memberi peluang kepada penyeluk saku dan rompakan.

9. Simpan Barangan Berharga

Credit: the_vintage_collective

Sepanjang tempoh perjalanan anda di dalam Filipina, jangan pamerkan barangan seperti kamera, telefon pintar dan barangan berjenama di tempat umum kerana akan mengundang kepada rompakan. Sebaiknya, penggunaan telefon mengikut keperluan sahaja dan upah pengawal sekiranya perlu untuk menjaga keselamatan diri dan barangan anda.

10. Jaga Kesihatan

Credit: atstreamlane

Pastikan anda menjaga kesihatan sepanjang tempoh melancong supaya mudah untuk anda bergerak dan melakukan lawatan serta aktiviti tanpa gangguan. Selain itu, sediakan kain kecil untuk anda yang tidak biasa dengan cuaca iklim asia. Ubat-ubatan yang mudah dibawa seperti paracetamol, ubat atau krim sapu gigitan serangga dan paling utama bawakan bersama air putih atau air mineral secukupnya kerana anda pasti berpeluh setiap masa.

11. Tempah Pakej Pelancongan

Credit: cristianfsasso

Pastikan anda mengikuti pakej pelancongan yang disediakan dan diiktiraf supaya memudahkan perjalanan di dalam Filipina dan digalakkan bagi anda bergerak secara solo. Anda secara tidak langsung telah mempunyai pengawal atau pembantu untuk bersiar-siar di bandar-bandar yang menarik. Malahan, apabila melancong secara berkumpulan, lebih mudah untuk anda mendapatkan pakej yang menarik dan lebih selamat.