Thailand adalah negara yang kaya dengan seni, budaya serta kepelbagaian jenis makanan dan sudah pasti menjadi destinasi pelancongan kegemaran untuk mereka yang gemarkan sesuatu yang berbeza dan percutian yang tidak dapat dilupakan. Daerah Hua Hin di Thailand merupakan destinasi percutian simbolik untuk mereka yang bergelar ‘kaki travel’. Jom kita lihat destinasi unik yang anda wajib lawati di daerah Hua Hin, Thailand!
Seenspace Hua Hin
Seenspace Hua Hin adalah pusat membeli-belah yang terkenal di kawasan pantai yang berpasir putih dan laut biru ala-ala mata mat salleh. Di sini, para pelancong boleh melawat kafe-kafe yang menarik dan unik pada waktu makan siang. Antaranya adalah kafe White Shuffle dan Platoo Café yang terletak di tepi pantai. Mesti anda akan rasa nyaman dan santai sahaja sepanjang percutian. Anda juga boleh membeli-belah di sini di butik-butik pakaian berjenama dengan harga yang berpatutan. Nama pun bercuti kan? Berbelanja sakan je lah!
- Alamat: 13/14 Hua Hin 35, Hua Hin, Daerah Hua Hin, Prachuap Khiri Khan 77110, Thailand
- Waktu buka: Isnin hingga Jumaat dari jam 12pm – 9pm / Sabtu dan Ahad dari jam 11am – 10pm
- Kadar: Dari 150 Baht
- Hubungi: +66 92 350 0035
Resort Villa Maroc, Pranburi
Mungkin ada yang menggemari budaya eksotik dan semestinya mereka tidak perlu pegi jauh untuk melihat seni bina dan dekorasi yang diilhamkan dari budaya Arab. Villa Maroc adalah sebuah resort yang menawarkan banyak tempat-tempat menarik termasuk kolam renang atas bumbung yang memberikan pemandangan yang pasti membuatkan anda terpukau.
Bilik-bilik eksotik di Villa Maroc ini akan memberikan anda satu pengalaman yang luar biasa dengan harga yang sangat berpatutan. Anda juga boleh mencuba masakan Arab di restoran Casablanca yang terkenal di resort ini di samping layanan istimewa dari kakitangan resort tersebut. Jangan risau kalau badan anda berasa lenguh dan tidak bermaya. Villa Maroc menyediakan terapi urutan Thai yang terbaik untuk anda melepaskan tekanan di tepi pantai.
- Alamat: 165/3 Moo 3 Paknampran, Pranburi Prachuap Khirikhan 77220, Thailand
- Kadar: Dari 5610 Baht
- Hubungi: +66 32 630 771
Hotel Sea-Cret Garden
Bagi golongan wanita yang bergaya dan bercita rasa tinggi, Hotel Sea-Cret Garden adalah lokasi percutian yang paling sesuai. Hotel ini terkenal dengan binaan rumah-rumah yang dicat dan digayakan seperti rumah boneka. Pasti anda akan berasa seperti Barbie di sini! Lokasi hotel ini juga terkenal dikalangan pengguna Instagram dengan rumahnya berwarna merah jambu dan ungu terang. Nak akses ke kolam renang? Mudah je! Hanya buka pintu dan anda akan nampak kolam renang.
- Alamat: 497 Moo 3 T.Hinlhekfai, Prachub Kirikan, 77110 Hua Hin, Thailand (Koordinat di sini)
- Kadar: Dari 3063 Baht
- Hubungi: +66 32 533 731
The Venezia
Buat yang belum pernah melawat ke Venice, Itali, jangan risau. Anda boleh melawat The Venezia untuk pengalaman yang menakjubkan! Di sini, anda boleh melihat deretan kedai-kedai serta pasar terbuka yang digayakan mengikut pesona dan tarikan di Venice, Itali. Pendek kata, The Venezia adalah syurga membeli-belah untuk para pelancong. Anda mungkin tertanya-tanya samada anda masih berada di Thailand setelah melihat replika menara loceng Square San Marcos yang terkenal dan Grand Canal sepanjang 200 meter.
- Alamat: 1899 Petch Kasem Road, Sai Tai, Cha-am, Petchaburi 76120
- Waktu buka: Setiap hari dari jam 10am hingga 11.30pm
- Harga: 50 Baht (Yuran kemasukan); Dari 40-160 Baht (Tiket untuk Tarikan)
- Hubungi: +66 3244 2823-5 / +66 2930 5191-5
Taman Hiburan Santorini
Sebaik saja anda melangkah masuk ke Santorini Park, anda akan merasa seperti menjejakkan kaki ke pulau fantasi di Santorini, Greece. Di sini, anda dapat melihat pelbagai tarikan seni, pusat membeli-belah, kafe-kafe bertemakan Greece dan butik-butik pakaian berjenama tempatan dan antarabangsa. Taman ini juga mesra keluarga dan terdapat banyak tarikan untuk seisi keluarga seperti Ferris Wheel, Carousel, taman air, buaian, dan rumah berhantu. Apa lagi yang anda mahukan? Semuanya ada disini!
- Alamat: 76120 Phetchaburi, Daerah Cha-am, Kao Yai, Thailand (Koordinat sini)
- Waktu buka: Isnin – Jumaat, 10am – 7pm / Sabtu – Ahad, 9am – 7pm
- Harga: 150 Baht (Tiket Masuk); Dari 120 Baht – 240 Baht (Tiket untuk Tarikan)
- Hubungi: +66 2434 69218 / +66 2434 7537
The Tea House
Selalu dambakan gaya hidup Perancis yang mewah dan berkelas? Kini anda boleh bergaya dan ber‘feeling’ di kafe bertema Perancis di The Tea House yang menawarkan teh sarapan gaya Perancis. Anda juga boleh mencuba secawan teh Marco Polo yang sangat terkenal di sini. Dengan persekitarannya yang nyaman dan santai, kafe ini dijamin akan menjadi lokasi kegemaran anda. Suasananya juga tenang untuk menikmati secawan kopi sambil membaca buku. Tapi buat mereka yang lebih sukakan gambar dari perkataan, anda boleh bergambar sepuas-puasnya di sini. Jangan lupa berselfie untuk Instagram. Biarkan rakan-rakan anda rasa cemburu!
- Alamat: Phetkasem Road (Phetkasem Road – Hua Hin In-FN Outlet innmost), Cha, Cha-am, Phetchaburi 76120
- Waktu buka: Isnin – Jumaat dari jam 10am – 7pm / Sabtu & Ahad dari jam 10am – 7.30pm
- Harga: Dari 90 Baht
- Hubungi: +66 62 651 9216
Swiss Sheep Farm
Destinasi unik yang terakhir di Hua Hin Thailand adalah Swiss Sheep Farm. Selain dari tempat-tempat percutian tipikal di Thailand, anda juga boleh mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain. Anda boleh melihat and berinteraksi dengan kambing biri-biri New Zealand yang dibela untuk memberi efek New Zealand yang lebih realistik. Selain itu, anda juga akan terpesona dengan hiasan Eropah seperti booth telefon Inggeris, kincir angin Belanda, dan karavan Volkswagen Jerman. Rugilah kalau anda tidak bergambar di sini! Para pelancong boleh memberi makan kambing biri-biri dan menaiki kereta kuda. Yang menariknya, anda juga boleh mencuba aktiviti memanah. Penat setelah seharian berjalan-jalan di ladang ini? Berehatlah bersama secawan kopi yang panas. Jadi tunggu apa lagi? Jom lawati Swiss Sheep Farm!
- Alamat: Kao Yai, Cha-am District, Petchaburi Thailand 76120
- Waktu buka: Isnin – Jumaat, 10am – 7pm / Sabtu – Ahad, 9am – 7pm
- Harga: 50 Baht (Dewasa), 30 Baht (Kanak-kanak)
- Hubungi: 032-772495
Jadi, dah tengok 7 destinasi unik yang korang mesti cuba bila ke Hua Hin, Thailand kan? Apa lagi, jom ke Thailand! Nak tahu panduan lanjut tentang Thailand? Anda boleh klik di sini!
Leave a Reply