Selalunya tempat-tempat eksotik dikaitkan dengan kawasan tropis seperti pantai, pulau-pulau terpencil dan kawasan luar bandar yang masih tidak dikenal umum. Kekadang yang sering dikatakan eksotik adalah seperti Maldives yang mempunyai banyak pulau peribadi, Bali yang kaya dengan budaya atau Krabi yang mempunyai banyak lokasi alami.
Kesemua lokasi ini mempunyai ramai pengunjung kerana harganya murah dan mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur tanpa transit. Tapi di sini jom kita lihat lokasi-lokasi lain yang tidak kurang eksotik dan sesuai untuk dijadikan trip bagpacking anda seterusnya!
Bosnia
Kenapa ini dikatakan sesuai untuk trip anda? Bosnia Herzegovina bukanlah nama asing bagi rakyat Malaysia kerana pernah menghantar bantuan tentera pengaman ketika perang saudara pada tahun 1992 sehingga 1995 dahulu.
Jangan tak tahu, Bosnia akan memberi kejutan besar kepada pengembara kerana harga makanan di sini sangat-sangat murah berbanding dengan negara Eropah yang lain seperti Italy, Swiss atau Norway.
Jika ke sini, kita akan berasa berada pada zaman 1990-an dengan kawasan bandar dan senibina asal yang masih banyak terpelihara. Perkhidmatan ‘tram’ juga masih digunakan sejak tahun 1970 di dalam kota Sarajevo dan banyak alam semulajadinya yang masih belum diterokai.
Ingin mengetahui tentang sejarah zaman pemerintahan empayar Uthmaniah? Di sinilah tempatnya. Sesiapa yang meminati sejarah boleh mengagumi empayar Uthmaniah yang hebat dahulu melalui seni bina bangunan lama yang masih banyak di sini.
Selain itu, kedudukan Bosnia yang berada di tengah negara Balkan memudahkan anda untuk ke negara lain untuk penggembaraan seperti Croatia, Albania, Romania, Montengro, Hungary dan Slovenia. Oleh itu, berkunjunglah ke Bosnia kerana tempatnya eksotik dan tidak memerlukan bajet yang banyak.
Croatia
Croatia bukan negara tipikal yang orang akan pilih sebagai lokasi trip seterusnya tapi negara yang berada di tepi Laut Adriatik ini sebenarnya penuh dengan khazanah. Negara ini memiliki pantai-pantai yang menakjubkan dan dari daratan anda boleh melakukan perjalanan dengan feri ke mana-mana pulau pilihan anda. Semuanya indah-indah belaka.
Di antaranya yang terkenal adalah seperti Pulau Vis yang merupakan perkampungan nelayan, Brac yang terkenal dengan pantai Golden Hornnya dan Mijet yang kecil dan sempurna untuk didaki.
Selain itu, Croatia juga memiliki sebuah taman nasional Plitvice Lakes yang luarbiasa dengan 16 tasik cermin air tawar yang boleh dilalui melalui jambatan atau laluan pejalan kaki. Di sana anda boleh melawat Air Terjun Krka yang mengagumkan.
Dan tahukah anda? Di sana jugalah terletaknya Kota Dubrovnik, iaitu tempat penggambaraan adegan Game of Thrones terkenal yang terdiri daripada bangunan-bangunan marmar dan batu, beratap merah dan menghadap laut. Ini menjadikannya destinasi pantai yang semakin menempah nama di kalangan pelancong bagpacker.
Kotor, Montenegro
Namanya saja Kotor tapi kota lama di Montenegro ini sangat cantik! Kota Kotor merupakan permata Balkan dan mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya untuk masuk ke Montenegro ini tidak memerlukan visa. Montenegro adalah sebuah negara pecahan daripada Yugoslavia yang bersempadan dengan negara Croatia, Bosnia, Serbia, Kosovo dan Albania.
Bandar lama Kotor ini dibina antara abad ke-12 hingga ke-14 dan terletak di persisiran pantai Montenegro. Ia terletak dalam satu kawasan perkampungan dan serba lengkap dengan hotel, restoran dan pelbagai kedai tapi kebanyakkannya tidak halal. Pemandangan di bandar ini sangat cantik dan tidak memerlukan pengangkutan awam kerana semua lokasi menarik berdekatan antara satu sama lain. Anda boleh jalan kaki sahaja. Bandar lama ini juga diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO dan sudah pasti tempatnya cantik!
Romania
Negara yang luas dan luar biasa, Romania ini serba lengkap dengan warisan semulajadinya dan budaya dari gunung-ganangnya yang megah dan perkampungan purbanya yang terpelihara. Di sinilah anda harus mengiikuti sejarah penguasa Wallachian dan juga pahlawan abad ke-15 yang paling sadis iaitu Vlad the Impaler yang juga dikenali sebagai Dracula.
Tempat inilah menjadi kelahiran watak Dracula yang menjadi ikon kebanyakan filem bergenre horror di dunia. Jadikan tempat eksotik ini destinasi anda seterusnya dan jangan lupa untuk mencuba makanan Romania yang ciri umumnya adalah berlemak dan penuh keju.
Kazakhstan
Kenapa Kazakhstan semakin menjadi tarikan pelancong malaysia? Ini kerana destinasi baru ini mempunyai beberapa keunikan yang tidak ada pada negara lain. Antara yang ketara, ia adalah sebuah negara yang terletak diantara dua benua iaitu Russia dan China dan ia juga termasuk dari negara pecahan dari Soviet Union.
Negara empat musim ini sememangnya cantik dan ia adalah pilihan terbaik untuk orang Muslim melancong sambil menikmati pemandangan musim salji yang sangat cantik.
Kyrgyzstan
Kyrgyzstan adalah sebuah negara yang terletak di tengah-tengah benua Asia dan mempunyai pemandangan yang sangat hebat, setanding dengan negara-negara Eropah. Selain dari memiliki bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, negara ini juga turut mempunyai landskap padang pasir di sebelah utara, barat dan tenggara.
Negara dengan tempat eksotik ini turut terkenal dengan penduduknya yang hidup secara nomad yang mana pada awalnya berasal dari Siberia dan Rusia yang mendiami Kyrgystan sejak zaman kerajaan Moghul lagi. Dan lebih mengagumkan, 75 peratus penduduknya adalah beragama Islam.
Apa yang menarik di sini? Anda boleh melawat Menara Burana yang dibina pada kurun ke-11 Masihi yang berfungsi sebagai penanda di sepanjang Great Silk Road. Tujuannya adalah untuk memberi isyarat bahawa di sana terdapat sebuah pendapatan untuk singgah dan melepaskan penat. Anda juga boleh naik ke tingkat atas menara untuk melihat pemandangan Laluan Sutera yang sangat indah.
Tempat-tempat menarik lain adalah seperti Tasik Issy Kul, Jeti-Oguz Gorge, Lembah Susamyr dengan pemandangan pergunungan yang memukau dan Toktogul Water Reservior yang merupakan takungan air terbesar di Kyrgyzstan.
Memang agak berbeza senarai lokasi eksotik kita pada kali ini. Anda cubalah kelainan dari lokasi-lokasi tipikal dan jadikan tempat-tempat berikut sebagai destinasi eksotik anda seterusnya!
Leave a Reply