• Menu

6 Sebab Anda Harus Bercuti Ke Osaka dan Kyoto

Home » Muslim Friendly Travel Guide » Japan Muslim Friendly Travel Guide » 6 Sebab Anda Harus Bercuti Ke Osaka dan Kyoto

Osaka dan Kyoto, dua bandar ini mungkin tidak kedengaran semegah kota metropolitan Tokyo yang populasinya mencecah lebih 9.2 juta penduduk. Namun, tahukah anda? Seiring dengan kemodenan yang dimiliki, kedua-duanya turut menyimpan seribu tarikan buat kaki travel yang ingin mempelajari sejarah lampau serta budaya baru.

Daripada seni bina bangunan lamanya yang mengagumkan sehinggalah keindahan pemandangannya yang memukau, Tripfez menyenaraikan 5 sebab utama kenapa anda terutamanya pelancong Muslim perlu memilih kedua-dua lokasi ini sebagai destinasi pelancongan yang seterusnya! 

1. SYURGA MAKANAN

Osaka merupakan bandar yang mesra Muslim. Contohnya, Lapangan Terbang Kansai mempunyai surau dan beberapa restoran halal yang tidak menjual daging khinzir. Kemudahan-kemudahan ini akan memudahkan pelancong Muslim untuk beribadah dan mendapatkan makanan halal bukan lagi satu masalah.

Turut digelar ‘tenka no daidokoro’ yang membawa maksud dapur negara, Osaka pernah menjadi pusat perdagangan beras utama semasa zaman Edo. Kini, ia lebih merujuk kepada reputasinya sebagai syurga makanan. Menarik bukan?

Buat para foodie, jangan lepaskan peluang untuk mencuba Okonomiyaki yang merupakan hidangan ikonik bandar Osaka. Hampir sama seperti lempeng di Malaysia, bezanya Okonomiyaki biasanya turut mengandungi hirisan kubis serta sumber protein yang lain di dalamnya. Opsss! Namun awas, hampir semua Okonomiyaki yang dijual di sana adalah tidak halal kerana ia seringkali mengandungi daging khinzir.

Sekiranya anda risau, melanconglah bersama Tripfez kerana kami akan menyediakan pakej lengkap termasuk restoran makanan halal. Anda juga boleh mencuba authentic Takoyaki, snek jalanan masyarakat Jepun yang kami pasti sudah dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi mereka yang berani, jangan lupa untuk mencuba Tessa – sashimi yang dibuat daripada Fugu, ikan buntal beracun yang boleh membawa maut jika tidak dikendalikan dengan betul. Hanya chef yang terlatih dan bertauliah sahaja boleh memasak hidangan ini bagi memastikan semua racun telah dikeluarkan daripada ikan tersebut. Jika dimakan, racun tersebut boleh menyebabkan bibir kebas dan lebih ekstrem, mampu membuat jantung berhenti. Jadi hati-hati ye!

2. MASJID TERTUA JEPUN

Anda juga boleh singgah ke daerah Kobe yang terletak di bahagian selatan Osaka untuk melawat masjid tertua di Jepun – Masjid Kobe. Ia didirikan pada tahun 1935 hasil kutipan derma yang dikumpul oleh golongan muslim setempat ketika itu yang kebanyakannya orang Turki, Rusia & India. Di sini terletaknya beberapa kedai runcit dan pusat penjualan daging halal untuk kegunaan orang Islam di kawasan sekitar Kobe serta ibu kota Osaka sendiri.

Sehingga kini, masjid ini masih tersergam indah dan berdiri teguh walaupun sudah melalui pelbagai situasi genting termasuklah serangan udara ketika Perang Pasifik dan gempa bumi kuat yang melanda Osaka pada tahun 1995. Seni binanya yang juga bercirikan Islamik sudah semestinya akan menarik perhatian mereka yang berkunjung! 

Tip daripada Tripfez: 

9 minit berjalan kaki dari stesen Sannomiya (Hankyu/Hanshi/JR Railway Line)

📍 Alamat:

2-25-14 Nakayamatedori, Chuo Ward, Kobe, Hyogo 650-0004, Japan

3. ISTANA OSAKA

Percutian di Osaka tidak lengkap jika anda tidak melancong ke lokasi ikonik ini. Istana Osaka merupakan bangunan peninggalan budaya yang dilindungi oleh pemerintah Jepun dan menara utama istana ini adalah simbol kota Osaka yang sangat terkenal.

Tapi, tahukah anda? Pada tahun 1615, ia pernah musnah dalam kebakaran yang disebabkan oleh sambaran kilat dan kemudian dibina semula pada tahun 1620. Apa yang unik tentang menara ini ialah ia kelihatan seperti bangunan 5 tingkat dari luar tetapi sebenarnya tersembunyi muzium setinggi 8 tingkat di dalam. Pelik tapi benar!

Selain itu, bangunan ini pernah melalui beberapa proses penyelenggaraan akibat bencana kebakaran dan peperangan dunia kedua dan penyelenggaraan kali terakhir berlaku pada tahun 1997. Kini, lokasi ini sering menjadi tarikan terutamanya semasa musim bunga sakura. 13 struktur Istana Osaka telah diisytiharkan sebagai aset budaya penting oleh kerajaan Jepun jadi jangan lepaskan peluang untuk melawat bangunan bersejarah ini.

Tip daripada Tripfez: 

Dinasihatkan masuk melalui Otemon Gate. Stesen keretapi terdekat ialah Tanimachi Yonchome (Tanimachi / Chuo Line). Anda juga boleh turun di stesen Osakajokoen (JR Loop Line).

📍 Alamat:

1-1 Osakajo, Chuo Ward, Osaka, 540-0002, Japan

Waktu Operasi: 

9:00 – 17:00, masa lawatan terakhir 16:30.

Masa lawatan mungkin berubah bergantung pada musim.

Bayaran Masuk: 

600 yen, tertakluk kepada perubahan

4. HUTAN BULUH ARASHIYAMA

Buluh adalah tidak asing lagi dalam budaya Jepun kerana ia dianggap sebagai simbol kemakmuran dan kemajuan. Elemen buluh banyak diterapkan dalam seni bina landskap di Jepun dan turut digunakan sebagai inspirasi dalam industri pertukangan mereka. Pelbagai produk tempatan seperti bakul, cawan, peti dan tikar dihasilkan daripada buluh sejak berabad yang lalu. 

Disebabkan itu, hutan buluh atau Chikurin dalam bahasa Jepun merupakan pemandangan yang sering dijumpai terutamanya berhampiran kuil-kuil di sana. Namun semuanya tidak sebesar dan sepopular Arashiyama Bamboo Grove di Kyoto. Lokasi ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semulajadinya malah anda juga dapat mendengar aluan bunyi yang merdu yang terhasil daripada tiupan angin melalui celahan hutan buluh yang tebal. Anda boleh memilih untuk berjalan atau menaiki basikal di sini sambil melihat pandangan yang sangat mengujakan dan indah. 

Tip daripada Tripfez: 

10 minit berjalan kaki dari stesen Saga Arashiyama (JR Sagano Line)

15 minit berjalan kaki dari stesen Arashiyama (Henkyu Railway)

📍 Alamat:

Arashiyama, Ukyo-ku, Japan

Waktu Operasi: 

Dibuka 24 jam

5. KINKAKU-JI ‘GOLDEN’ TEMPLE 

Sebuah kuil Zen yang mewakili Kitayama-Bunka; Kinkaku-Ji Temple ialah binaan bercirikan campuran budaya tradisional bangsawan dan samurai baru.  Lokasi ini telah dinamakan sebagai tapak bersejarah khas kebangsaan dan landskap khas negara serta merupakan salah satu daripada 17 lokasi yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Kyoto.

Kuil yang dibina di atas kolam ini pada mulanya dibangunkan sebagai vila persaraan shogun Ashikaga Yoshimitsu, seorang diktator tentera Jepun pada abad ke-14. Atas permintaan beliau, setelah kematiannya pada tahun 1408, ia kemudiannya dijadikan sebagai kuil Zen.

Yang menariknya, struktur yang dapat kita lihat sekarang sebenarnya hasil binaan semula pada tahun 1955. Ini kerana kuil ini pernah musnah beberapa kali disebabkan perbuatan khianat dan lain-lain. 

Apa yang lebih mengagumkan, bahagian luar dua tingkat teratas Kinkaku-Ji Temple diselaputi daun emas dan dari situlah kuil ini mendapat jolokan nama Kuil Anjungan Emas atau Golden Pavilion. Faktor menyebabkan Kinkaku-Ji Temple sentiasa tampak gah terutamanya ketika musim sejuk apabila bangunannya diliputi salji yang memutih. 

Tip daripada Tripfez: 

40 minit perjalanan dari stesen Kyoto dengan Kyoto City Bus bernombor #101 atau #205

10 minit perjalanan dari stesen Kitaoji (Karasuma Subway Line) dengan teksi atau bas bernombor #101, #102, #204 atau #205

📍 Alamat:

1 Kinkakujicho, Kita Ward, Kyoto, 603-8361, Japan

Waktu Operasi: 

9:00 – 17:00

Bayaran Masuk: 

400 yen, tertakluk kepada perubahan

6. KIYOMIZU DERA

Bak kata penduduk tempatan, ‘nadi Jepun ialah Kyoto manakala nadi Kyoto ialah Kiyomizu Dera‘. Lokasi ini merupakan salah satu tempat yang terkenal bagi pelancong asing kerana keindahan pemandangannya terutama pada hujung tahun. Oleh itu, ia harus dimasukkan dalam senarai destinasi wajib pergi anda!

Apa yang menarik di sini? Di bahagian belakang dewan utama Kiyomizudera terdapat sebuah kuil bernama Jishu Shrine yang didedikasikan kepada dewa cinta dan jodoh.

Di hadapan kuil ini, terdapat dua buah batu setinggi 18 meter yang menurut kepercayaan masyarakat setempat, sesiapa yang berjaya berjalan dari satu batu ke satu batu yang lain dengan mata yang tertutup dikatakan akan bertuah dalam mencari cinta. 

Kiyomizu Dera juga terletak di kawasan tanah tinggi, jadi para pelawat akan berpeluang melihat pemandangan sebahagian daripada kawasan bandar Kyoto dari sini. Buat para Instagramer di luar sana, jangan lepaskan peluang mengabdikan moment percutian anda disini!

Tip daripada Tripfez: 

15 minit perjalanan dari stesen Kyoto dengan bas bernombor #100 atau #206

📍 Alamat:

294 Kiyomizu, Higashiyama Ward, Kyoto, 605-0862, Japan

Waktu Operasi: 

6:00 – 18:00

Masa lawatan mungkin berubah bergantung pada musim.

Bayaran Masuk: 

400 yen, tertakluk kepada perubahan

Kyoto dan Osaka menjanjikan segala-galanya — daripada keindahan budayanya, keunikan sejarahnya sehinggalah kepelbagaian makanannya. Walaupun populasi Muslim di Jepun adalah sedikit, anda pasti akan teruja melihat bagaimana komuniti bukan Islam di sini secara tidak langsung banyak menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian mereka. Kita sendiri boleh lihat banyak sisi budaya dan gaya hidup mereka yang sedikit sebanyak mencerminkan pengaruh agama Islam; contohnya amalan berkaitan penjagaan kebersihan dan persekitaran serta cara mereka menghormati satu sama lain.

Sesuatu yang perlu kita fikirkan bukan? 

Selain yang disenaraikan di atas, banyak lagi lokasi-lokasi menarik lain yang boleh dilawati sepanjang percutian anda di kedua-dua bandar ini. Jadi apa tunggu lagi, jom melawat Kyoto dan Osaka! Jika anda mahu, Tripfez juga boleh membantu merancang percutian mesra Muslim anda ke sana. Lawati website kami di www.tripfez.com untuk tempahan atau sebarang pertanyaan lanjut.

Dengan Tripfez, mana-mana trip pun best!

Leave a Reply