• Menu

Tempat Menarik di Xian Yang Boleh Anda Lawati Sekiranya ke China

Home » Guide for Muslim Travellers » Tempat Menarik di Xian Yang Boleh Anda Lawati Sekiranya ke China

Xian merupakan salah satu kota tertua di China dan pernah menjadi pusat pemerintahan pelbagai dinasti antaranya Zhou, Qin, Han, Sui dan Tang. Sejarah ketamadunan serta budaya dan sejarah tempatan di Xi’an semestinya mampu membuka mata anda tentang keunikan Xi’an. Xi’an merupakan salah satu destinasi pelancongan yang menarik di China dan mampu menarik jutaan pengunjung setiap tahun.

Banyak tempat menarik di Xian untuk diterokai dan kawasan kejiranan yang selamat dan mesra untuk dilawati. Pengaruh agama Islam di Xian yang terserlah melalui seni bina, budaya serta warisan penduduknya menambahkan lagi keindahan bandar ini. Jom lihat senarai lokasi menarik yang ada di Xian dan wajib dilawati jika anda berkunjung ke China yang menyimpan pelbagai sejarah bernilai ini.

1. Makam Tentera Terracotta Qin Shi Huang/Terracotta Qin Shi Huang Warrior

Terracotta Qin Shi Huang Warrior merupakan antara tempat menarik di Xian

Terracotta Qin Shi Huang Warrior atau Mausoleum of The Emperor Qin Shihuang disenaraikan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kompleks kubur tentera patung tanah liat ini yang terletak kira-kira 40 kilometer di bahagian timur Kota Xian ini merupakan kompleks kubur terbesar di dunia. Lokasi ini ditemui oleh petani tempatan pada tahun 1974. Ketika sedang menggali perigi untuk mencari sumber air, mereka telah menjumpai beberapa serpihan patung sebelum melaporkan insiden tersebut kepada pihak kerajaan.

Ahli arkeologi diarahkan untuk melakukan penyelidikan di kawasan tersebut dan menemui lebih banyak patung lama iaitu sekitar 6000 hingga 7000 patung tentera yang diperbuat daripada tanah liat. Sebelum penemuan, kompleks kubur ini tersembunyi di bawah tanah selama kira-kira 2000 tahun. Penemuan artifak ini juga dikaitkan dengan Dinasti Qing (211-206BC).

2. Tembok Kota/City Wall

Pemandangan di Tembok Kota atau CIty Wall pada waktu malam

Antara tempat menarik di Xian yang menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Xian ialah Tembok Kota Xian yang mengelilingi pusat bandar Xian ini. Tembok besar bersejarah yang berketinggian 12 meter dengan lebar 12-15 meter dan memanjang sejauh 14 kilometer ini dibina sebagai benteng pertahanan dan berfungsi untuk melindungi maharaja daripada serangan musuh. Ia dikatakan sebagai salah satu sistem pertahanan ketenteraan purba terbesar dan terbaik di dunia. Tembok Kota ini dibina pada zaman Dinasti Ming dan dikatakan sebagai tembok paling lengkap dan terselamat di China.

Tembok Kota ini mengandungi empat pintu masuk utama; pintu tembok selatan merupakan gerbang utama dan menjadi lokasi utama pilihan pelancong untuk berjalan kaki dan berbasikal.

3. Masjid Agung Xian/Great Mosque of Xian

Great Mosque of Xian merupakan masjid tertua dan terbesar di Xian, lokasi menarik di Xian yang wajib dilawati jika ke sini

Masjid ini terletak berhampiran dengan Muslim Quarter dan dibina pada zaman Dinasti Tang. Pada tahun 1988, pemerintah China telah mengisytiharkan bangunan ini sebagai salah satu bangunan bersejarah yang terpenting di China. Seni bina masjid ini seperti kuil tradisional di China. Strukturnya yang unik dan menarik menjadikan masjid ini destinasi tumpuan pelancong dan menerima ribuan pengunjung saban tahun. Malah, masjid ini dikatakan sebagai salah satu masjid tertua dan terbesar dengan seni bina paling indah di dunia.

Bagi pelancong Muslim, jangan lepaskan peluang untuk menunaikan solat di masjid ini. Masjid yang berkeluasan 12000 meter persegi ini terdiri daripada ruang solat serta terdapat taman-taman yang indah. Tanaman pokok yang menghijau di sekitar masjid menambahkan lagi ketenangan kawasan ini.

4. Muslim Quarter/Muslim Street

Antara makanan halal yang disajikan di Muslim Street, Xian
kredit: jslim60

Majoriti penduduk di Xian beragama Islam. Justeru, makanan halal mudah untuk didapati di sini. Lokasi ini menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Xian kerana terkenal dengan pelbagai jenis juadah halal tempatan. Anda berpeluang menikmati makanan halal tempatan seperti kao rou (daging kambing yang diperap bersama rempah-ratus dan dibakar sehingga garing, dicucuk pada kayu pencucuk khas dari pokok yang hidup di padang pasir), qie gao (manisan pencuci mulut), yan rou pao mo (sup kambing dimakan bersama cebisan roti keras) dan banyak lagi hidangan-hidangan menarik lain. Untuk lebih terperinci, baca artikel mengenai makanan halal Xian di sini.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan pelbagai jenis cenderamata tempatan yang dijual di sini. Kebanyakan kedai di kawasan ini dimiliki oleh orang Islam. Justeru, anda akan menyaksikan ramai pekerja wanita bertudung dan pekerja lelaki berkopiah putih mengucapkan salam kepada anda. Menariknya, lokasi ini mudah diakses dengan kenderaan awam. Jika anda menaiki bas atau metro bawah tanah, turun di Stesen Zhonglou untuk ke sini.

5. Pagoda Angsa Liar Raksasa/Giant Wild Goose Pagoda

Giant Wild Goose Pagoda merupakan pagoda Buddha yang terletak di Xian

Giant Wild Goose Pagoda atau Big Wild Goose Pagoda ialah pagoda Buddha yang terletak di selatan Xian, Shaanxi. Ia dibina pada 652 semasa Dinasti Tang. Pada asalnya, struktur bangunan ini setinggi lima tingkat, kira-kira 60 meter tinggi. Semasa Dinasti Sui semasa pemerintahan Maharani Wu Zetian, struktur bangunan ini ditambah sebanyak lima tingkat lagi menjadikannya 10 tingkat keseluruhan. Namun begitu, struktur bangunan ini rosak semasa Perang Dunia Kedua lalu dikurangkan kepada tujuh tingkat dan seni bina tersebut kekal sehingga ke hari ini.

Pagoda ini mengetengahkan elemen budaya Buddha, kaya dengan sejarah terkenal tokoh-tokoh terdahulu, struktur seni bina yang unik dan lain-lain yang boleh dianggap sebagai permata sejarah seni bina purba Cina dan merupakan tanah suci Buddha. Mercu tanda bandar Xian yang ikonik ini merupakan simbol bandar Xian dan merupakan tapak Buddha yang paling berpengaruh di Xian.

Xian menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk diterokai
Kredit: rostovkina82

Xian boleh dikatakan sebagai lokasi percutian strategik bagi mereka yang berhasrat untuk melancong ke China kerana mudah mendapatkan makanan halal. Malah, keindahan alam semula jadi di Xian serta pelbagai destinasi percutian menarik yang tersedia di sini semestinya akan mengujakan anda. Xian bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong asing, malah rakyat China juga gemar berkunjung ke Xian. Oleh itu, rancang perjalanan anda sebaik mungkin untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan percutian anda.

Tempah Pakej Xian Termasuk Makanan Halal

Jika anda sedang merancang percutian anda yang seterusnya, anda boleh mempertimbangkan Xian sebagai destinasi percutian anda yang seterusnya bersama yang tersayang. Pelbagai tempat menarik di Xian yang menanti kehadiran anda di sini. Layari laman web Tripfez untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply