• Menu

Hua Hin Night Market: Apa Yang Menarik?

Home » Guide for Muslim Travellers » Hua Hin Night Market: Apa Yang Menarik?

Hua Hin Night Market ini dibuka bermula jam 6PM-11PM setiap hari dan sehingga 12PM untuk Ahad.Terletak di pusat bandar Hua Hin di antara Jalan Petchkasem dan landasan keretapi, pasar ini terdiri daripada satu laluan jalan raya yang ditutup untuk para peniaga membuka gerainya. Barang jualan di sini ada beraneka jenis seperti pakaian, kraftangan, CD & DVD, hasil seni dan banyak jenis makanan! Dan sepanjang pasar malam itu terdapat restoran-restoran makanan laut yang menjadi perhatian ramai pengunjung tempatan.

Jom kita lihat apa yang menarik tentang Hua Hin Night Market ini!

Makan-Makan di Hua Hin Night Market

Makanan Halal Hua Hin Night Market
kredit: @gunhub

Seperti biasa kalau anda hendak ke mana-mana pasar malam di Thailand, anda pasti tidak ingin melepaskan untuk mencuba ais krim kelapa dan Mango Sticky Rice yang enak rasanya. Selain itu, terdapat juga makanan tempatan yang berasaskan sayur seperti somtam yang juga harus dicuba! Makanan lain yang enak dirasai adalah pancake thailand yang mempunyai pelbagai perisa termasuk kombinasi menarik seperti pisang dan Nutella. Ranggup dan manis, anda pasti mahu makan lagi!

Halal Pulut Mangga Thai
kredit: @vv_luv_eat

Makanan Laut Tempatan

Seafood Grill Halal Thailand
kredit: @gunhub

Makanan masih halal boleh dijumpai di sini namun kebanyakan restoran atau gerai yang menjual makanan laut turut menjual minuman beralkohol, oleh itu sekiranya anda ingin singgah, pastikan anda pilih menu mengikut budi bicara sendiri. Gerai-gerai makanan laut di sini sangat rapat antara satu sama lain, dan harganya tidak jauh berbeza. Hasil tangkapan laut dipamerkan atas dulang-dulang berais yang terdiri daripada ikan-ikan segar pelbagai rupa, ketam dan lobster!

Makanan Seafood Hua Hin Night Market
kredit: @sawsilveraung

Sesetengah pihak akan mengesyorkan makanan laut dari kedai Khaimuk, Rod Yai atau Ko Seafood yang dikatakan menawarkan harga yang berpatutan untuk hidangan yang sangat besar. Anda juga mungkin jumpa kedai kecil yang menjual udang bakar cicah sos cili Thai diantara laluan gerai yang ada.

Berhibur di Hua Hin Night Market

Penjual di Hua Hin Night Market
kredit: @salmanhossain

Di sepanjang Hua Hin Night Market ini, anda akan temui penghibur-penghibur jalanan atau nama lainnya buskers. Memang chill tau! Selain itu hiburan berbentuk pengalaman untuk melihat budaya tempatan juga boleh dirasai. Anda boleh mencuba skil tawar-menawar anda di sini dan juga menguji kelancaran bahasa Thailand anda! Cubalah bercakap bahasa Thailand dengan peniaga-peniaga di sini dan anda pasti terhibur dengan keramahan mereka!

Pasar Malam di Hua Hin
kredit: @tingtiff

Foot Massage di Hua Hin Night Market

Urutan Kaki Murah di Hua Hin Night Market
kredit: @candyyanyan

Penat berjalan seharian di Hua Hin, anda bolehlah dapatkan urutan kaki di sini dengan harga 100 bhat sahaja selama 30 minit di Hua Hin Night Market ni. Murah dan berbaloi-baloi. Tempat mengurut kaki boleh ditemui berhampiran hujung pasar malam ini dan terdapat banyak tukar urut kaki di sana!

Ole-Ole Tempatan

Beli Ole Ole di Thailand

Pernah melihat pelancong lain memakai seluar kembang yang bercorak gajah atau pokok kelapa? Itulah antara jenis seluar yang boleh didapati di pasar malam ini. Dari barangan vintage, kraftangan, pakaian pantai, lampu-lampu yang hipster dan pelbagai barangan ole-oleh tempatan lain, anda pasti menjadi ambang mata memilihnya! Jangan lupa untuk membeli pakaian yang mempunyai corak khas Thailand untuk dijadikan kenangan.

Souvenir Wajib Beli Thailand
kredit: @myaniesha
Souvenir Lampu Thailand

Kalau dah puas berpusing dalam pasar malam ini, anda boleh bergerak pulang dengan menaiki tuk-tuk, teksi atau berjalan kaki sahaja sekiranya hotel anda betul-betul berhampiran dengan tempat ini. Kerana sesudah pulang dan menghabiskan seharian berjalan-jalan di luar, esok malamnya anda pasti ulang lagi ke sini!  Begitulah pesonanya pasar malam ini.

Sedang merancang percutian anda di Thailand? Destinasi bulan madu ini harus dilawati!

Jom Bercuti di Thailand?

Leave a Reply